Pages

Saturday, March 03, 2012

SHEIKH Mohd. Noh, Usahawawan Cili Parit Raja,

SHEIKH Mohd. Noh, Usahawawan Cili Parit Raja,

SHEIKH Mohd. Noh, Usahawan Tani Cili, Berbudi kepada Tanah

 

SHEIKH Mohd. Noh Sheikh Hassan gembira memperkenalkan kebun cili 'cintil' miliknya di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam Batu Pahat, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


BATU PAHAT 1 Mac - Sebut sahaja cili padi, ia cukup sinonim bagi masyarakat negara ini kerana merupakan salah satu bahan penting atau 'wajib' dalam masakan, khususnya kaum Melayu.

Tidak kira orang utara, Pantai Timur malah selatan tanah air, boleh dikatakan setiap menu masakan tidak sempurna jika tanpa cili padi.

Menyedari cili mendapat permintaan yang tinggi dan bekalannya tidak pernah mencukupi, seorang usahawan, Sheikh Mohd. Noh Sheikh Hassan membuat keputusan mengusahakan tanaman cili jenis 'cintil' secara sambilan sejak September 2008.

Sheikh Mohd. Noh, 29, bersama rakannya Mohamed Izam Dolmamin, 31, pada peringkat awal hanya mengusahakan 600 pokok cili 'cintil'.

Namun begitu, memandangkan hasil dan sambutan yang menggalakkan, dua sahabat itu menambah bilangannya kepada 1,400 pokok pada peringkat kedua dan 2,000 pokok ketika ini.

Menurut Sheikh Mohd. Noh, berikutan permintaan tinggi selain potensi tinggi tanaman itu, dia mengambil keputusan berhenti bekerja kilang pada 2009 untuk mengusahakan tanaman cili 'cintil' secara sepenuh masa.

"Pada 2010 saya mendaftar sebagai peserta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit Raja dan menerusi penyertaan itu saya menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi mengembangkan tanaman cili tersebut secara besar-besaran berikutan permintaan yang tinggi.

"Tanpa disedari kejayaan saya telah dilihat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan pada 2010 saya dianugerahkan Peladang Jaya Kebangsaan kerana berjaya mengusahakan cili 'cintil' berskala besar.

 
"Kejayaan itu telah menjadi kayu pengukur untuk PPK Parit Raja meluluskan peruntukan RM200,000 bagi mengembangkan tanaman itu dengan 3,500 pokok di kawasan seluas 0.4 hektar," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di kebunnya di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam, di sini baru-baru ini.

Sheikh Mohd. Noh berkata, dengan keluasan kebun tersebut, pihaknya kini mampu mengeluarkan 120 kilogram (kg) cili 'cintil' sehari dan jumlah itu sebenarnya hanya dapat memenuhi permintaan dua daripada 84 kedai yang ada di Pasar Borong Batu Pahat berbanding keperluan kira-kira 500 kg sehari.

"Lagipun, harga cili padi jenis ini cukup baik berbanding cili Siam iaitu RM12 kg bagi harga borong dan RM20 kg untuk harga runcit, manakala dari segi kepedasan ia lebih pedas daripada cili Siam.
"Berdasarkan maklum balas dan penelitian, cili jenis ini amat digemari pelanggan dan seorang pekedai runcit memaklumkan, 10 kg cili cintil boleh dijual sehari berbanding sekilogram cili api Siam yang mengambil masa seminggu untuk habis terjual," katanya.

Daripada segi pendapatan pula, tambah Sheikh Mohd. Noh, hasil jualan cili padinya mampu mencecah sehingga RM4,000 sebulan.

Menurutnya, kerja memetik cili 'cintil' dilakukan oleh 10 penduduk tempatan yang diberi upah RM2 setiap sekilogram.

Mengenai perancangan masa depan, Sheikh Mohd. Noh berharap dapat berkongsi pengalaman dan memberi khidmat nasihat untuk melahirkan 128 usahawan yang baru berjinak-jinak untuk mengusahakan tanaman tersebut.

"Para usahawan itu terdiri daripada peserta PPK Parit Raja yang akan menanam 6,400 pokok cili dengan 50 pokok setiap seorang. Menerusi 128 usahawan dan 6,400 pokok cili, ia mampu menghasilkan 5,120 kg cili semusim.

"Jika berjalan lancar projek yang akan bermula pada bulan ini akan menjadikan daerah ini sebagai hab pengeluaran cili api 'cintil' terbesar negara," katanya.

Sementara itu, Mohamed Izam melahirkan keyakinan, jika ramai masyarakat di negeri ini mengusahakan tanaman tersebut, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan cili import yang sebahagian besarnya dibawa masuk dari Thailand dan Indonesia.

"Sebaliknya, jika ramai usahawan menanam cili, kita pula yang mampu mengeksport cili ke negara-negara lain bagi memenuhi keperluan mereka," katanya penuh yakin.

Bagi Muhammad Hazman Mat Syned, 30, dari Benut, Pontian, beliau turut berjinak-jinak menanam cili 'cintil' kerana yakin dengan potensinya yang boleh memberikan pulangan lumayan.

Menurutnya, dia mengetahui potensi besar cili 'cintil' semasa mengunjungi Ekspo Agro dan makanan Johor yang berlangsung di Projek Pertanian Moden, Kluang pada November tahun lalu.

Teruja melihat Sheikh Mohd. Noh yang berjaya mengusahakan tanaman tersebut, Muhammad Hazman akhirnya mengambil keputusan untuk mengusahakan tanaman itu secara serius dengan bantuan pengusaha berkenaan.

"Pada mulanya, saya menanam 600 pokok di sekeliling rumah tetapi kini dengan keluasan tambahan tanah yang ada, saya menambah 400 pokok menjadikan 1,000 pokok.

"Menerusi pengalaman mengusahakan tanaman cili ini, saya dapati ia lebih mudah berbanding menjadi kontraktor, kerana tidak banyak masalah dan harga cili pula tidak pernah jatuh iaitu kira-kira RM12 kg pada harga borong," katanya.

No comments:

Post a Comment