INTI pati Kalam Allah dan Sunnah Rasulullah dalam hal makanan dan pemakanan boleh dijadikan panduan dalam kehidupan Muslim untuk memilih makanan, sumber mendapatkan makanan, jenis makanan dan juga adab makan.
Makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman serba moden, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah.
Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan?
Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu semula jadi dari hati, berhubung keperluan hidup iaitu jantung dan otak manusia.
Selaras dengan itu, ketiga-tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya. Justeru, badan memerlukan makanan yang baik untuk memeliharanya dengan cara mendapatkan zat terbaik untuk tubuh badan manusia.
Di sini jelas menunjukkan kepentingan makanan dan minuman yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak, organ penting di dalam jasad manusia dalam pembangunan jasmani dan rohani mengikut acuan berlandaskan lunas Islam.
Ahli sains dan perubatan tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati”. (Hadis riwayat Bukhari)
Jelas kepada kita dari sudut pandangan sains, makanan yang baik penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi antara lainnya mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan beracun dalam badan, membina dan memusnahkan sel darah merah, menukar glikogen kepada glukosa untuk diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi khusus lain yang penting dalam sistem tubuh badan manusia.
Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk keterampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah terbilang.
Dalam tafsir Al-Azhar, Prof Hamka mengingatkan supaya manusia tetap mencari makanan dan mengatur makanan serta minumannya daripada sumber halal, bukannya daripada penipuan yang sering berlaku sama ada rasuah, curi atau dipaksa.
Meskipun makanan itu baik, unsur halal perlu dititikberatkan supaya kita dapat menjaga hati daripada dicemari makanan haram yang akan memberi kesan kepada keperibadian kita keseluruhannya.
Batas yang baik itu sudah tentu dapat dipertimbangkan akal fikiran manusia kerana makanan itu bukan saja halal, tetapi juga baik seperti faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam agama.
Dalam satu riwayat disampaikan Ibn Mardawaihi daripada Ibn Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, Saad Ibn Abu Waqqas memohon Baginda memohon kepada Allah supaya apa saja doa disampaikannya kepada Tuhan, supaya dikabulkan.
Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangannya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”
Hadis ini sudah tentu menggerunkan hati kita menjauhi makanan haram dan makanan daripada sumber haram. Seandainya ingin doa dimakbul Allah, maka kita perlu menjaga makanan yang disuap ke mulut kita.
Perut dipenuhi makanan yang haram akan mempengaruhi jiwa. Seharusnya pengajaran hadis Rasulullah dijadikan iktibar untuk kita memperhalusi jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah.
Perincikan di mana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha di dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya, perut terisi makanan haram dapat menjelmakan peribadi yang salih?
Pemakanan sihat dan seimbang mampu memelihara tubuh badan daripada sebarang penyakit memudaratkan. Pengambilan dan penggunaan tenaga yang seimbang dan optimum dapat mengekalkan kesihatan jasmani.
Apabila tubuh kuat dan sihat, kita dapat melakukan pekerjaan atau rutin harian dengan sempurna sekali gus dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.
Daripada bab memilih makanan yang baik, Islam juga menggariskan adab makan yang sedikit sebanyak mempengaruhi pengamalan seharian. Adab sebelum dan selepas makan, ketika makan dan adab makan bersama tetamu, semuanya digariskan Islam melambangkan kesyumulan dalam melahirkan generasi berkeperibadian mulia dan beradab.
Walaupun makanan bukan punca kepada segala penyakit, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu menjaga pemakanan lebih baik daripada mengubat penyakit disebabkan daripada pemakanan.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kekenyangan”.
Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang sesuai diamalkan dalam kehidupan di mana kita sering mengambil makanan mengikut nafsu dan bukannya makan mengikut keperluan.
Sebab itulah masyarakat selalu berhadapan masalah kesihatan berkaitan makanan seperti kegemukan, kencing manis dan penyakit jantung. Pemakanan seimbang mengambil kira keperluan untuk tubuh, usia dan kegiatan harian.
Ibnu Sina di dalam Al Qanun Fi al-Tibb menyarankan kita mengelak daripada makan dengan kenyang sehingga tiada ruang untuk baki makanan lain di dalam perut.
Berlebihan dalam mengambil makanan dan minuman akan membawa kepada kesukaran penghadaman makanan oleh perut dan sistem ini akan ditimpa pelbagai penyakit.
Contohnya, kegemukan boleh mendatangkan pelbagai komplikasi penyakit lain seperti malas, tidak cergas dan tidak sempurna dalam pekerjaan. Kesannya lebih teruk jika penyakit itu melarat dan boleh membawa maut.
Namun perlu diingatkan, berlebihan dalam mengambil makanan dan minuman juga akan membawa kepada berbelanja yang lebih dan menyebabkan kepapaan. Sikap boros bukan satu sikap yang dipuji dalam Islam, malah ia adalah sikap syaitan.
Pemakanan sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja cemerlang kesihatannya bahkan cemerlang akhlak sahsiah, berperibadi mulia dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap serta menyeluruh.
No comments:
Post a Comment