Berdosa dan Haram Guna Pelaris
Ustaz Azhar Idrus - (soalan) Hukum Menggunakan Pelaris dalam Perniagaan
Berdosa dan Haram Guna Pelaris
(DIPETIK DARIPADA RUANGAN SOAL JAWAB AGAMA DI AKHBAR KOSMO)
APAKAH hukumnya menggunakan pelaris dalam menjalankan perniagaan
terutamanya dalam melariskan penjualan makanan di kedai-kedai makan?
JAWAPAN:
ISLAM mengharuskan umatnya berjual beli. Dalam hal ini setiap peniaga
sewajarnya mematuhi etika berjual beli yang ditetapkan dalam Islam.
Antaranya berlaku jujur dan amanah terhadap jualan tersebut.
Isu menggunakan pelaris sebagai azimat dan tangkal dalam berjual beli
adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan akidah dan boleh
membawa kepada syirik kepada Allah.
Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW
yang bermaksud:
“Sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat guna-guna
adalah syirik.”
(Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Oleh itu, jauhkanlah
diri daripada perbuatan yang sedemikian.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 membincangkan
Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam.
Muzakarah telah memutuskan bersetuju dengan garis panduan yang telah
disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai iaitu amalan
penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu
kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya
yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng
daripada ajaran Islam.
Dalam Kitab Mastika Hadis Jilid Pertama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tahun 2007 ada menyebut seperti berikut:
“Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram sekiranya
mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang
berdasarkan sihir atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang
mengandungi benda-benda najis atau kotor.” (halaman 191).
Penggunaan tangkal, azimat dan sebagainya daripada ayat al-Quran atau
yang mengandungi nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya adalah tidak
diharuskan menurut Abdullah Bin Mas’ud, Al-Aswad dan Abdullah bin Hakim.
Dr. Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat ini.
Justeru, para peniaga sewajarnya menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh untuk maju dan berjaya dalam kehidupan.
Usaha yang berterusan perlu dipertingkatkan dan dengan perancangan
strategik selagi tidak menyalahi hukum syarak dalam berniaga. Seterusnya
berdoalah kepada Allah SWT agar segala usaha yang dilakukan diberkati
dan dirahmati-Nya.
No comments:
Post a Comment