Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, July 09, 2012

TV AlHijrah Dan GIO Jalin Kerjasama

TV AlHijrah, GIO jalin kerjasama


BERTEMPAT di Makkah baru-baru ini, TV AlHijrah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Gulf International Office (GIO) yang membolehkan TV AlHijrah mengakses siaran dan kandungan berita serta program lima saluran TV utama di Arab Saudi.

Lima saluran itu, KSA1, KSA2, TV Quran, TV Sunnah dan TV Al Akhbariah.


Menurut Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor, usaha ini akan meningkatkan lagi hubungan silaturrahim dan ukhwah antara rakyat Malaysia dan Arab Saudi”.


“Kita berharap pertukaran kandungan dan akses yang diperoleh antara dua pihak terhadap siaran dan kandungan masing-masing akan mengukuhkan lagi persefahaman dan nilai silaturahim antara Malaysia dan Arab Saudi.” katanya.

Yusof Noor mengetuai delegasi TV AlHijrah ke Jeddah dan Makkah dalam usaha merealisasikan perjanjian persefahaman yang ditandatangani, baru-baru ini.

Katanya lagi, selain soal hubungan ummah Malaysia dan Arab Saudi, usaha ini turut memberi manfaat sebagai pembuka jalan merintis gelombang kerjasama antara stesen televisyen Islam di seluruh dunia, tanpa mengira status geografi dan geopolitik.

“Dengan pengalaman lebih 30 tahun GIO dalam bidang penyiaran, serta status televisyen kendaliannya yang menguasai hak penyiaran bagi semua aktiviti di Makkah dan Madinah terutama ibadah haji, TV AlHijrah akan menjadi medium untuk menyebar dan mengedarkan semua kandungan berkenaan kepada umat Islam di Malaysia,” katanya.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian di Jeddah dan Makkah itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVAlHijrah Bukhari Che Muda dan Konsulat Malaysia di Arab Saudi, Mahruzahrin Maskan.

Menurut Mahruzahrin, selain memenuhi aspirasi pertukaran kandungan TV, perjanjian ini turut memberi impak positif yang mengukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi.

Bukhari pula berkata, hasil perjanjian ini akan mula dinikmati pada Ramadan ini, sejajar dengan langkah TV AlHijrah untuk bersiaran selama 24 jam sehari, bagi memenuhi penyiaran kandungan berorientasikan ibadah Ramadan.

“Hampir setahun kami berusaha untuk menjalin kerjasama ini dan Alhamdullilah, akhirnya Jeddah dan Makkah menjadi saksi persefahaman yang dicapai antara TV AlHijrah dan GIO,” katanya.

SUMBER; HARIAN METRO, Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...