Nurulnadia raih gelaran Permata Tenggara, Kerana Cemerlang STPM
KULAIJAYA 12 Mac - Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Nurulnadia Yeem Rohani, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara (SMKBT), di sini bukan sahaja menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan sebuah komputer riba, malah turut digelar sebagai 'Permata Tenggara'.
Gelaran tersebut diberikan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika melawat Nurulnadia di rumah keluarganya di Felda Penggeli Timur, di sini.
Gelaran itu berikutan kejayaanNurulnadia mencipta sejarah sekolah dan kawasan Parlimen tersebut dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Halimah berkata, kejayaan Nurulnadia itu amat membanggakan dan menjadi bukti bahawa usaha gigih bukan sahaja menjadikan pelajar itu cemerlang, malah gemilang dan terbilang.
"Saya berharap Nurulnadia dapat mengekalkan prestasi cemerlang untuk bersaing dan terus mencapai kejayaan terbaik dalam bidang dipilihnya.
''Tahniah juga kepada guru dan ibu bapa yang banyak memainkan peranan penting bagi menyemai dan menanam semangat tinggi kepadanya untuk berjaya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Nurulnadia merupakan antara 19 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM Kategori Aliran Sastera di seluruh Johor apabila memperoleh A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Pengajian Am, Pengajian Syariah dan Sejarah.
Menurut Nurulnadia, dia terharu atas sumbangan itu dan berjanji menggunakan wang dan komputer riba yang diterima sebaik mungkin,
Ketika ditanya mengenai rahsianya berjaya muncul antara pelajar terbaik, Nurulnadia berkata, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam bagi mengulang kaji setiap mata pelajaran selepas tamat waktu persekolahan.
"Pada masa sama, selain rajin bertanya dalam kelas saya juga sering menjadi 'guru' kepada rakan lain," katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
0 comments:
Post a Comment