Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, August 13, 2012

Berdosa Haram Guna Pelaris

Berdosa dan Haram Guna Pelaris

Ustaz Azhar Idrus - (soalan) Hukum Menggunakan Pelaris dalam Perniagaan

Berdosa dan Haram Guna Pelaris

(DIPETIK DARIPADA RUANGAN SOAL JAWAB AGAMA DI AKHBAR KOSMO)

APAKAH hukumnya menggunakan pelaris dalam menjalankan perniagaan terutamanya dalam melariskan penjualan makanan di kedai-kedai makan? 

JAWAPAN: 

ISLAM mengharuskan umatnya berjual beli. Dalam hal ini setiap peniaga sewajarnya mematuhi etika berjual beli yang ditetapkan dalam Islam. Antaranya berlaku jujur dan amanah terhadap jualan tersebut. 

Isu menggunakan pelaris sebagai azimat dan tangkal dalam berjual beli adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan akidah dan boleh membawa kepada syirik kepada Allah.

Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:

 “Sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat guna-guna adalah syirik.”
 (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Oleh itu, jauhkanlah diri daripada perbuatan yang sedemikian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 membincangkan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam. 

Muzakarah telah memutuskan bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai iaitu amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Dalam Kitab Mastika Hadis Jilid Pertama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tahun 2007 ada menyebut seperti berikut: 

“Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram sekiranya mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor.” (halaman 191).

Penggunaan tangkal, azimat dan sebagainya daripada ayat al-Quran atau yang mengandungi nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya adalah tidak diharuskan menurut Abdullah Bin Mas’ud, Al-Aswad dan Abdullah bin Hakim. Dr. Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat ini.

Justeru, para peniaga sewajarnya menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh untuk maju dan berjaya dalam kehidupan. 

Usaha yang berterusan perlu dipertingkatkan dan dengan perancangan strategik selagi tidak menyalahi hukum syarak dalam berniaga. Seterusnya berdoalah kepada Allah SWT agar segala usaha yang dilakukan diberkati dan dirahmati-Nya.

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...