Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, September 27, 2012

Misi Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar Bukti Malaysia Peka

Misi Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar
 Bukti Malaysia Peka

Misi Rakhine Bukti Malaysia peka

Konflik Rohingya :
Malaysia sedia bantu tanpa kira bangsa dan agama



Muhyiddin melihat kapal Sinar Bima yang membawa bantuan Kelab Putera 1Malaysia ke Myanmar berlepas di Pelabuhan Utara, Klang, semalam. - Foto Effendy Rashid

Pelabuhan Klang: Misi bantuan kemanusiaan yang aktif dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) menggambarkan rasa tanggungjawab dan prihatin rakyat negara ini membantu meringankan penderitaan jiran serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bantuan yang disalurkan bukan bertujuan mencampuri masalah dalaman negara terbabit, sebaliknya meringan penderitaan penduduk terjejas tanpa mengira bangsa dan agama. 


“Misi bantuan ini adalah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai jiran dan atas semangat ASEAN.

Misi bantuan ini adalah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai jiran dan atas semangat ASEAN” - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
“Ia adalah langkah sementara bagi mengurangkan penderitaan penduduk di Rakhine, Myanmar.

“Kita percaya Kerajaan Myanmar juga prihatin dan berusaha menyelesaikan masalah mereka. Perlu ada usaha bersepadu untuk mencari jalan supaya rakyat di Myanmar atau tempat lain dapat hidup aman,” katanya.




Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan kapal Sinar Bima dari Pelabuhan Utara di sini, membawa 500 tan bantuan dalam bentuk makanan, keperluan perubatan dan lain-lain ke wilayah Myanmar itu.



Misi berkenaan dilancarkan Kelab Putera 1Malaysia yang mengambil inisiatif mengumpulkan barangan dan dana yang dihulurkan rakyat negara ini termasuk daripada syarikat swasta.
Laporan sebelum ini menyatakan, puluhan ribu etnik Rohingya yang beragama Islam menderita akibat kemiskinan.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Kohillan Pilay; Duta Myanmar ke Malaysia, U Tin Latt; Pengerusi Northport (Malaysia) Bhd , Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada majlis berkenaan, Northport turut menyumbang RM100,000 kepada Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu misi berkenaan.

Muhyiddin berkata, sukarelawan yang diketuai Abdul Azeez Abdul Rahim diminta mengutamakan keselamatan dan tidak terbabit dalam masalah dalaman di negara itu.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kapal Sinar Bima akan mengambil masa lima hari untuk tiba di Pelabuhan Yangon dan barangan itu akan diangkut dengan lori tentera ke Rakhine, kira-kira 900 kilometer dari Yangoon.

Katanya, 50 sukarelawan, pegawai perubatan dan pengamal media yang terbabit dalam misi ini dijangka berlepas pada 1 Oktober ini dan mereka akan mengagihkan barangan berkenaan selama 10 hari di sana.


Sumber: Berita Harian

Konflik Rohingya: Malaysia sedia bantu tanpa kira bangsa dan agama

KLANG - Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Myanmar adalah gambaran kesediaan rakyat Malaysia membantu golongan yang menderita akibat konflik di Rakhine, Myanmar tanpa mengira bangsa dan agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukan pertama kali tetapi sudah sekian lama kita menganjurkan program sebegini dengan sokongan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta yang mengumpul dana membiayai pembelian bahan-bahan makanan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kapal Sinar Bima dari Pelabuhan Utara di sini yang membawa 500 tan metrik bantuan dalam bentuk makanan, ke wilayah Myanmar itu.

Muhyiddin berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban mereka yang menderita di Rakhine tanpa mengira bangsa atau agama yang mereka anuti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Myanmar yang telah memberi jaminan untuk membantu bagi memastikan bantuan yang dihantar akan sampai kepada kumpulan sasaran.

Muhyiddin berkata, para sukarelawan yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim diminta supaya menjaga keselamatan diri kerana kawasan itu belum lagi stabil dan jangan terlibat dengan masalah dalaman di sana.

Sebelum itu, di dalam ucapannya Muhyiddin berkata, misi bantuan kemanusiaan ini merupakan langkah sementara bagi mengurangkan penderitaan masyarakat di Rakhine dan masalah penindasan etnik di sana perlu diselesaikan oleh kerajaan Myanmar.

"Kita percaya kerajaan Myanmar juga prihatin sepertimana kita, untuk menyelesaikan isu itu. Perlu ada usaha sepadu untuk mencari jalan dan kaedah bagaimana masalah itu dapat diselesaikan supaya rakyat sama ada di Myanmar ataupun di tempat lain boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kapal Sinar Bima akan mengambil masa lima hari untuk tiba di Pelabuhan Yangon dan barangan itu akan dihantar ke Rakhine melalui jalan darat yang mengambil masa tiga hari.

Beliau berkata, seramai 50 orang terdiri daripada sukarelawan, pegawai perubatan dan pengamal media terlibat dalam misi yang bermula pada hari ini dan dijangka berakhir pada 10 Okt ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Myanmar ke Malaysia, U Tin Latt. - Bernama
Sumber: Sinar Harian










0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...