KUANTAN - Seorang lelaki yang mendakwa baru keluar wad kerana sakit mental sebelum ditangkap kerana mencuri minyak wangi dan sembilan berus gigi berjenama dalam sebuah pasar raya di sini mengaku terpaksa berbuat demikian kerana ketiadaan wang untuk membeli nasi.
Tertuduh, Mohd Khairulnizam Jaafar, 33, berasal dari Pasir Putih, Kelantan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri bagaimana pun gagal membuktikan status penyakitnya itu sebaliknya dia memaklumkan kad pengesahan sebagai pesakit mental sudah lama hilang.
Dalam rayuannya juga, tertuduh yang tidak bekerja memohon supaya hukuman diringankan memandangkan dia terpaksa menyara ibu saudara di kampung.
Ketika berada dalam kandang pesalah, tertuduh, mengadu tidak sihat dan sakit-sakit tubuh bagaimana pun tindak-tanduknya itu hanya satu alasan bagi mengelak menjawab pertanyaan Majistret Nurulnaim Abdullah berhubung rekod kesalahan lampau dan hukuman yang pernah dijalani sebelum ini.
“Saya tidak ingat semuanya puan,” jawabnya ringkas selepas mahkamah menyenaraikan rekod kesalahan lampaunya sejak 1993 hingga 2006 atas kesalahan mencuri, memiliki barang curi dan lari dari pusat serenti.
Tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail tetap merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan bagaimana pun mahkamah terpaksa menjatuhkan hukuman setimpal ke atasnya mengambil kira kesalahan berulang yang dilakukan lelaki itu.
Mohd Khairulnizam sempat mengucapkan terima kasih kepada mahkamah selepas dihukum penjara 16 bulan bermula dari tarikh hukuman semalam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebotol minyak wangi dan sembilan batang berus gigi bernilai RM132.74 dalam sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 2.30 petang 19 September lalu bagaimana pun perbuatannya disedari pengawal keselamatan premis tersebut dan dia berjaya ditangkap.
Sumber: Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment