Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, November 30, 2012

Gaza Rayu Dana Pulihkan Palestin

Gaza Rayu Dana Pulihkan Palestin

RM112.2 juta



PENERANGAN...Ahmed menjelaskan peruntukan dana perlu disalurkan
 kepada penduduk Gaza kepada wartawan Harian Metro.

GAZA: Kerajaan Palestin di Semenanjung Gaza merayu bantuan dana segera AS$37.4 juta (RM112.2 juta) dari negara yang prihatin terutama Malaysia, bagi membantu rakyatnya yang kini menderita akibat serangan roket tentera Zionis bermula 14 November lalu.

Menteri Perhubungan Sosial dan Pekerjaan Palestin, Ahmed Alkurd yang ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam berkata, serangan tentera Yahudi itu mengakibatkan kemusnahan teruk ratusan kediaman penduduk di Semenanjung Gaza.

Menurutnya, hujan roket serta peluru berpandu kapal laut, pesawat F-16 dan dron dilepaskan tentera Israel seolah-olah mempunyai dua tujuan iaitu membunuh rakyat Gaza dan sekali gus memastikan mangsa merempat tanpa tempat tinggal.


 

“Berdasar perangkaan awal, kira-kira 800 penduduk Gaza kini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah sama sekali akibat dibedil roket Israel. Mereka kini tidak ubah seperti pelarian.

“Selain itu kira-kira 8,000 rumah lagi mengalami kemusnahan sederhana namun memerlukan bantuan kewangan bagi membaik pulih kerosakan dialami,” katanya.


Ahmed berkata, kekurangan dana dan bantuan antarabangsa menyebabkan kerajaan Palestin gagal memberi bantuan segera kepada mangsa yang kini menghuni khemah sementara atau di celah runtuhan rumah mereka.


“Tanpa keperluan asas seperti elektrik dan air, kehidupan amat menyeksakan, tambahan ketika ini musim sejuk dengan suhu kira-kira 15 darjah celsius kini,” katanya.

Menurutnya, bantuan kewangan dari negara luar terutama Malaysia diakuinya sentiasa prihatin dengan penderitaan rakyat Palestin turut diperlukan bagi membantu kira-kira 1,300 penduduk mengalami kecacatan kekal atau cedera parah akibat serangan lapan hari itu.


“Saya bersyukur dan terharu atas keprihatinan luar biasa ditunjukkan rakyat di Malaysia yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Kesediaan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia termasuk Muslim Care dalam memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Gaza sejak tiga tahun lalu, membuktikan kesungguhan rakyat Malaysia membantu penduduk Gaza,” katanya.


Ahmed juga menyatakan rasa syukur kerana rakyat Gaza kini tidak lagi berperang bersendirian kerana mereka turut dibantu ‘saudara’ dari Malaysia, Turki, Indonesia dan Mesir yang sentiasa menghulurkan sumbangan tanpa diminta.


Sumber : Harian Metro, Jumaat,  2012/11/30















0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...