Monday, February 27, 2012

Di manakah sensitiviti Pengguna Islam, Produk makanan halal,

Makanan halal, dan sensitiviti Pengguna Islam

 

Lebih separuh daripada pengguna industri makanan di Malaysia terdiri daripada pengguna Islam yang bergantung pada agensi kerajaan, seperti JAKIM, yang memberikan pelesenan halal bagi produk, premis makanan dan rumah sembelihan.

Namun, pengguna Islam yang bergantung pada produk makanan halal terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dan kepalsuan sijil halal. Selain itu, pengguna Islam di Malaysia juga terdedah pada tarikan dan iklan produk makanan yang belum dapat dijamin halal.

Lebih malang lagi apabila terdapat segelintir masyarakat Islam yang tidak mempedulikan langsung status halal sesuatu produk atau premis mereka mendapatkan sumber makanan.

JAKIM telah mengumumkan 74.7 peratus pemegang sijil halal terdiri daripada peniaga bukan bumiputera. Isyarat positif ini menunjukkan bahawa peniaga bukan Islam mula mengambil berat keperluan pengguna Islam terhadap produk makanan halal. Akan tetapi, masih terdapat segelintir pengguna Islam di negara ini yang tidak mempedulikan langsung status halal makanan yang dibeli.

Biasanya jika sesebuah restoran dilihat mempunyai ramai pengunjung Melayu dan bertudung, makanannya sudah dikira halal untuk dimakan, berbanding dengan menilai sendiri sijil halal yang diberikan kepada sesebuah perniagaan.



Sikap sambil lewa ini wajar dikritik kerana dikhuatiri mempengaruhi pengguna Islam yang lain, sekali gus merendahkan dan mencemarkan fungsi penguatkuasaan perlesenan halal oleh pihak berkuasa.

Menurut statistik pada tahun 2010 yang dikeluarkan laman web www.halal.gov.my, hanya 64 buah restoran hotel yang mempunyai sijil halal yang sah berbanding dengan lebih 2000 buah hotel yang mempunyai premis restoran di seluruh Malaysia.

 Janganlah apabila sudah terhantuk baru tengadah kerana selalunya pengguna Islam akan tersentak ketika premis makanan terkenal yang selalu dikunjungi diserbu pihak berkuasa oleh sebab menyediakan makanan tanpa sijil halal yang sah.

Dalam konteks Malaysia, amat mudah bagi pengguna Islam mendapatkan makanan yang disahkan halal kerana pengguna Islam tanah air mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli keperluan makanan, termasuklah memilih restoran dan tempat sembelihan yang halal.

Apabila isu ini dibincangkan, beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca kurangnya sensitiviti pengguna Islam terhadap produk dan premis makanan halal. Antaranya, sikap pengguna Islam itu sendiri yang kurang sedar tentang kepentingan mengetahui status halal yang sah bagi setiap produk dan premis yang dikunjunginya.

Pengguna Islam lebih mengutamakan produk murah dan mengetepikan faktor halal dan kebersihan penyediaan sesuatu produk makanan. Sesetengah pengguna Islam mudah tertipu dengan iklan dan tawaran menarik yang dipaparkan peniaga makanan yang tidak dapat dipastikan status halal produk dan premisnya.
Sebenarnya, pilihan untuk mendapatkan produk halal terletak pada pengguna itu sendiri.

Pihak berkuasa kerajaan, seperti JAKIM, telah menjalankan tugas selaku agensi penguatkuasaan, pengeluar sijil dan pengiktirafan halal untuk pengeluar dan peniaga makanan. Di pasar raya atau restoran, pengguna mempunyai kebebasan memilih dan membeli sesuatu produk makanan.
Sensitiviti masyarakat tentang status halal sesuatu produk kadangkala dilihat terhad kepada sama ada daging itu disembelih oleh orang Islam atau tidak. JAKIM telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dikenal pasti untuk sesebuah syarikat mendapat pengiktirafan sebagai pengeluar produk halal. Antaranya, makanan yang diniagakan itu bukan terdiri daripada haiwan yang haram disembelih atau dimakan dalam Islam dan tidak mengandungi sebarang unsur yang dihukum najis mengikut syarak. Makanan halal perlu bebas daripada bersentuhan dan berdekatan dengan bahagian atau benda haram dan najis dalam Islam semasa peringkat penyediaan, pemprosesan dan penyimpanan.

Hakikatnya, terdapat beberapa perkara lain yang perlu diambil kira oleh pengguna Islam, seperti pekerja dan proses pengendalian di premis dan kilang makanan, tempat simpanan dan cara makanan diedarkan. Perkara ini tidak seharusnya diambil mudah kerana bukan sahaja mengancam status halalnya, bahkan kecuaian pengeluar makanan ini juga boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada pengguna.

Usaha berterusan badan bukan kerajaan, seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), untuk menyiasat dan memantau proses penghasilan makanan perlu diberi pujian. Sebagai pengguna Islam yang bijak, maklumat mengenai perkara ini seharusnya dikaji dan dijadikan syarat sebelum wang dibelanjakan untuk keperluan asasi ini.

Sensitiviti makanan yang halal dan baik juga merujuk sejauh mana industri makanan itu mampu menyumbang semula kepada pembangunan umat Islam. Pada abad ke-21, kita sering mendengar berita tentang syarikat gergasi luar negara yang menggunakan keuntungan jualan produk makanan mereka bagi membiayai rejim Zionis untuk menyerang dan membunuh umat Islam di Palestin.

Sekiranya perkara ini benar, sebagai pengguna Islam yang prihatin, kita seharusnya lebih berhati-hati memilih dan sentiasa beringat bahawa tindakan kita mungkin boleh menyekat sebutir peluru musuh daripada meragut nyawa seorang anak yang tidak berdosa. Pilihan yang selamat adalah dengan mengutamakan pengeluar makanan tempatan berbanding dengan syarikat makanan luar negara. Dengan menggunakan produk yang dihasilkan peniaga tempatan juga, pengaliran wang untuk pembangunan ekonomi dapat ditumpukan di dalam negara.

Selain sensitiviti memilih produk dan premis makanan halal, umat Islam seharusnya mempunyai sensitiviti untuk membangunkan perusahaan bagi memenuhi keperluan pengguna Islam tanah air. Sekiranya produk makanan yang dibangunkan oleh umat Islam sendiri, secara tidak langsung keyakinan pengguna terhadap status halal sesuatu produk makanan itu akan lebih dipercayai.

Umat Islam yang terlibat dalam penyediaan makanan halal perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memenuhi keperluan syariat pelanggan seagamanya. Mengikut statistik JAKIM, syarikat multinasional, industri kecil dan sederhana yang memohon pensijilan halal masih didahului peniaga bukan bumiputera.

 Misalnya, hanya 21 peratus sahaja syarikat multinasional bumiputera Muslim yang memiliki sijil halal, berbanding dengan 79 peratus syarikat pengeluar makanan multinasional yang dimiliki oleh bukan bumiputera.
Sensitiviti pengguna Islam terhadap pembelian makanan halal seharusnya tidak dijadikan punca fitnah dan tuduhan yang tidak berasas terhadap mana-mana syarikat yang berusaha mendapatkan pensijilan halal, baik dakwaan yang dilemparkan itu kepada syarikat milik orang Islam mahupun bukan Islam. Mutakhir ini, kita sering mendapat e-mel berangkai yang melontarkan pelbagai tuduhan negatif mengenai sesetengah pengeluar produk makanan yang telah diisytiharkan mempunyai lesen halal.
Sikap sensitif terhadap status halal sesuatu produk sememangnya perlu diraikan, namun sensitiviti berlebihan dan melampaui batas kadangkala perlu ditangani. Kecenderungan menyebarkan maklumat palsu boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan pengguna terhadap mutu pensijilan halal JAKIM.
Pengguna prihatin sudah tentu tidak akan menyebarkan maklumat palsu sesuka hati, kononnya untuk menunjukkan dirinya peduli mengenai hak pengguna Islam. Lebih baik pengguna tersebut meletakkan situasi ini betul pada tempatnya. Siasatan dan kaji selidik sesuatu maklumat perlu dilakukan sebelum disebarkan. Pengguna Islam yang sensitif mengenai hal ini perlu menyalurkan aduan dan maklumat yang diterima kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Usaha gigih agensi kerajaan dan pertubuhan pengguna Islam dalam mendidik pengguna Islam mengenai kepentingan mempunyai sensitiviti terhadap makanan, harus disambut baik masyarakat awam. Selain itu, penubuhan Institut Penyelidikan Produk Halal di Universiti Putra Malaysia dilihat sebagai komitmen besar kerajaan untuk menyediakan lebih banyak produk halal kepada pengguna Islam di tanah air. Sekiranya usaha ini tidak diambil secara positif oleh pengguna Islam melalui sensitiviti mereka terhadap produk dan premis makanan halal, sudah tentu perbelanjaan besar ini akan menjadi sia-sia belaka.
Kesimpulannya, umat Islam sebagai kumpulan pengguna yang terbesar di Malaysia perlu menilai kembali sikap dan situasi mereka terhadap produk dan premis makanan, sama ada halal atau tidak. Konteks halal juga perlu diberikan penjelasan supaya pengguna Islam bijak memilih produk makanan yang bersesuaian dengan keperluannya dan tidak terburu-buru menuduh sesebuah syarikat pengeluar makanan tanpa bukti. Akhirnya, pilihan sebenar terletak di tangan pengguna juga, sama ada sensitif memilih makanan yang telah dilesenkan halal atau tidak mengendahkannya langsung, asalkan perut dapat diisi.

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...