Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, April 10, 2012

Kerajaan diminta wujudkan dasar pengiklanan negara

Kerajaan diminta wujudkan dasar pengiklanan negara

KUALA LUMPUR 9 April – Pensyarah Komunikasi Pemujukan dan Pengiklanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff meminta kerajaan menggubal satu dasar berkaitan industri pengiklanan negara.

Menurutnya, dasar tersebut diperlukan bukan sahaja bagi melindungi pihak industri tetapi juga terhadap pengguna.


“Ketika ini tidak ada satu dasar yang menghalang pihak luar untuk menayangkan iklan mereka di negara ini. Mereka menggunakan tenaga luar bagi menghasilkan iklan berkenaan dengan wajah dan falsafah mereka.

“Iklan boleh diibarat sebagai satu bentuk penjajahan kecil yang mendatangkan kesan kepada pengguna dan mampu menjejaskan budaya setempat,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamad berkata, dasar terbuka terhadap penayangan iklan luar turut melemahkan pihak industri terutama agensi pengiklanan bumiputera.
“Pihak yang ingin mengiklankan produk tidak lagi memerlukan tenaga dan kepakaran tempatan. Mereka boleh terus mengimport iklan luar bagi mengurangkan kos. Ini sekali gus menjejaskan produktiviti agensi pengiklanan tempatan.
“Kita perlu sedar syarikat pengiklanan ini ditunjangi syarikat multinasional. Dalam era globalisasi, syarikat multinasional ini semakin mantap dan kita tidak ada dasar yang melindungi industri tempatan,” tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Agensi Pengiklanan Bumiputera atau Pribumi, Datuk Rosle Jaamat yang turut berada di sidang media itu mengakui bahawa dasar terbuka terhadap iklan luar boleh membantutkan industri pengiklanan di negara ini, sekali gus menjejaskan agensi terbabit.

“Sebenarnya industri pengiklanan ini memberi peluang yang luas, namun kita melihat masih lagi terdapat kekangan terutama kewangan daripada pihak media untuk menjalankan aktiviti pengiklanan.
“Kita mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dalam mengeluarkan sesuatu iklan, tetapi kurang daripada pihak swasta,” jelasnya.

menurut Mohamad, ketika ini beliau dan Pribumi sedang bekerjasama merangka kertas kerja berkaitan dasar pengiklanan negara untuk disampaikan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Antara lain, katanya, kertas kerja itu juga akan mencadangkan penubuhan satu majlis bagi melindungi kepentingan agensi pengiklanan tempatan serta penglibatan syarikat milik kerajaan atau GLC bagi membantu agensi pengiklanan.

Untuk rekod terdapat kira-kira 100 agensi pengiklanan bumiputera berdaftar dengan Pribumi.

Sumber: Utusan Malaysia Online,

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...