Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, July 05, 2012

Yasser Arafat Mati Diracun Kubur Mungkin Digali

Yasser Arafat Dikatakan Mati Diracun


Yasser Arafat mati diracun bahan polonium

DOHA 4 Julai - Kematian Presiden Palestin, Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 2004, dipercayai berpunca akibat diracun menggunakan bahan polonium, menurut kajian makmal di Switzerland.

Laporan agensi televisyen Al-Jazeera yang memetik kenyataan Pengarah Institut Radiasi Fizik Universiti Lausanne, Francois Bochud berkata, analisis tersebut dilakukan terhadap sampel biologi Arafat yang diberi oleh balunya, Suha Arafat.

“Kesimpulan daripada ujian yang dijalankan, kami mendapati terdapat unsur-unsur racun polonium dalam sampel Allahyarham," katanya. - AFP (Sumber: Utusan Malaysia)

Kubur Arafat mungkin digali

RAMALLAH, Tebing Barat - Kubur pemimpin Palestin, Yasser Arafat mungkin akan digali bagi membolehkan lebih banyak ujian dilakukan untuk menentukan punca kematiannya, kata Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas semalam.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas sebuah makmal Switzerland melaporkan, pihaknya menemui kandungan tinggi bahan radioaktif polonium pada beberapa barangan yang digunakan oleh Arafat beberapa hari sebelum kematiannya.

Kenyataan itu dibuat selepas balu Arafat, Suha dalam satu temu ramah yang disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera menyatakan suaminya itu diracun dengan polonium.

Pegawai kanan Palestin, Saeb Erakat memberitahu agensi berita AFP, satu siasatan antarabangsa perlu diwujudkan bagi menentukan punca kematian Arafat.

Dalam wawancara bersama Al-Jazeera, Suha tidak menyatakan mengapa beliau menunggu hampir lapan tahun sebelum membenarkan beberapa barangan tersebut termasuk sebatang berus gigi dan topi untuk diuji.

Pada hari kematian Arafat, wanita tersebut enggan membenarkan mayat suaminya itu dibedah siasat.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di luar Paris, Perancis pada November 2004 semasa berumur 75 tahun.

Beberapa doktor Perancis memberitahu, beliau mengalami pendarahan otak.

Namun, beberapa minggu sebelum itu, Arafat jatuh sakit di kediamannya di Tebing Barat.


Doktor-doktor termasuk beberapa pakar bebas yang menyemak rekod perubatan Arafat bagi pihak agensi berita Associated Press (AP) gagal mengenal pasti punca beliau mengalami pendarahan otak.

Spekulasi telah tersebar di dunia Arab bahawa beliau dibunuh oleh Israel yang menganggapnya sebagai halangan perjanjian damai Asia Barat.
Namun, seorang pegawai Israel menafikan rejim Zionis telah meracun Arafat.
Dalam satu temu ramah radio, Dov Weisglass yang pernah menjadi ketua kakitangan Perdana Menteri Israel ketika Arafat masih hidup, Ariel Sharon, menafikan laporan Al-Jazeera,
Menurut Weiglass, para pegawai Israel tidak pernah menimbang untuk membunuh Arafat.
Ketua Institut Radiasi Fizik di Laussanne, Francois Bochud memberitahu AP semalam bahawa makmalnya menguji beberapa barangan yang digunakan pada hari-hari terakhir Arafat selain beberapa barangan lain milik pemimpin tersebut.

Suha berkata, barangan itu disimpan di sebuah bilik selamat di pejabat peguamnya di Paris selepas kematian Arafat sehingga pihak Al-Jazeera menghubungi makmal berkenaan bagi pihaknya pada awal tahun ini.

Selepas ujian dilakukan, beberapa pakar menemui kuantiti kecil bahan radioaktif polonium pada seluar dalam Arafat dan pakaian hospital yang dipakainya.

Penemuan itu kata Bochud, tidak semestinya menunjukkan bahawa Arafat diracun.

Katanya, sukar untuk mengenal pasti sumber polonium tersebut.

"Apa yang kami tahu adalah terdapat tahap polonium yang tinggi yang membawa kepada hipotesis Arafat diracun tetapi hasil ujian ini bukan bukti bahawa beliau diracun," kata Bochud dalam satu wawancara telefon bersama AP.

Polonium paling dikenali kerana menyebabkan kematian bekas ejen perkhidmatan risikan KGB, Alexander Litvinenko di London pada 2006.

Litvinenko sebelum itu kerap mengkritik pemerintah Rusia. - Agensi (Sumber; Kosmo Online)

 

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...