Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, June 19, 2012

Syiria Suriah Kisah Yang Belum Selesai

Syiria Kisah Yang Belum Selesai

 PENDUDUK Syria berhimpun melihat mayat didakwa dibunuh oleh kumpulan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad-Foto REUTERS


Semua Artikel di bawah dipetik daripada Akhbar Berita Harian Online

Syria lakukan jenayah perang , 2012/06/15
Syria di ambang kehancuran, 2012/06/11 
Syria guna budak: PBB2012/06/13

Syria lakukan jenayah perang
2012/06/15

DAMSYIK: Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International menuduh Syria melakukan jenayah kemanusiaan apabila bertindak menghukum penduduk kawasan tertentu yang menyokong pemberontak anti-Damsyik.

Amnesty membuat kenyataan itu ketika pemerhati antarabangsa melaporkan lebih ramai penduduk maut akibat letupan bom kereta dan pertempuran.

Ketika menggesa masyarakat antarabangsa bertindak balas, ia mendakwa memiliki bukti baru menunjukkan mangsa termasuk kanak-kanak, diheret keluar rumah dan ditembak mati oleh askar dan dalam kes lain mayat mangsa dibakar.


“Bukti baru ini membimbangkan dan menunjukkan berlaku penindasan serius hak asasi serta perlunya masyarakat antarabangsa bertindak,” kata pegawai Amnesty, Donatella Rovera selepas penyiaran laporan 70 muka surat bertajuk Deadly Reprisals.

Anggota pertubuhan berpejabat di London itu mewawancara penduduk di 23 bandar dan kampung seluruh Syria.

“Ia membuat kesimpulan askar kerajaan dan militia pro-Damsyik bersalah mencabul hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa menyebabkan berlakunya jenayah perang,” kata Amnesty.

Laporan itu disiarkan sehari selepas kerajaan ‘membersihkan’ kawasan Al-Haffe daripada pengganas. Al-Haffe terletak di barat laut Syria yang menjadi kubu kuat pemberontak Tentera Syria Merdeka ketika pemerhati melaporkan lebih 80 terbunuh sejak kelmarin.
Bagaimanapun, Tentera Syria Merdeka mengundurkan anggotanya dari Al-Haffe sejak kelmarin kerana tidak mahu orang awam menjadi mangsa konflik.

Media tempatan melaporkan, tentera kerajaan menawan Al-Haffe kelmarin, sehari selepas pemerhati PBB diserang ketika cuba sampai ke kawasan berkenaan. – AFP

Syria di ambang kehancuran
2012/06/11

DAMSYIK: Pemimpin baru pembangkang Syria semalam berkata rejim Presiden Bashar al-Assad kini hampir tumbang walaupun Russia memberi amaran bahawa ia akan menghalang sebarang langkah yang diambil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentang sekutunya.

Kerajaan Barat melancarkan desakan bagi sekatan terbaru terhadap Damsyik di tengah kemarahan berikutan pembunuhan beramai-ramai ketika pemantau PBB menyalahkan pasukan pro rejim selepas tentera membunuh sekurang-kurangnya 83 orang awam Sabtu lalu.

“Kita memasuki satu fasa sensitif. Rejim kini sudah hampir tumbang,” kata aktivis Kurdis, Abdel Basset Sayda sebaik saja beliau dinamakan sebagai pemimpin baru pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria.

“Pembunuhan beramai-ramai dan pengeboman menunjukkan ia sedang berada dalam keadaan sukar,” katanya mengulas pembunuhan besar-besaran penduduk awam, terbaru menyaksikan 20 orang kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman di sebuah kawasan penduduk di bandaraya selatan Daraa pada Sabtu.

Sayda dipilih sebagai pemimpin baru SNC pada persidangan di Istanbul, menggantikan pemimpin pembangkang pertama, Burhan Ghaloun yang meletak jawatan bulan lalu berikutan perpecahan yang menjejaskan wibawa kumpulan itu.

Aktivis mendakwa Ghalioun mengabaikan Jawatankuasa Penyelaras Tempatan, yang menyebarkan bantahan anti kerajaan di Syria, dan memberikan Ikhwan Muslimin satu peranan besar.

Sayda, yang tinggal dalam buangan di Sweden selama dua dekad dilihat sebagai satu calon sesuai dalam SNC dan meningkatkan rayuannya di kalangan etnik Syria dan kumpulan lain.
Lelaki 55 tahun itu tidak terbabit dalam mana-mana parti politik. Walaupun namanya tidak biasa di kalangan penduduk Syria, pegawai SNC menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh yang bebas dan jujur.

Pembangkang sebelum ini menerima kritikan kerana tidak mewakili semua puak Arab, Kurdis, Sunnah Islam, Alawites, Kristian, Druze dan kumpulan etnik lain di Syria.

Ditanya mengenai cita-citanya sebagai pemimpin SNC, Sayda berkata, blok pembangkang akan memfokus kepada usaha masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas menentang rejim.

“Kami mahu menguatkan rantaian dengan aktivis pada peringkat bawah dan Tentera Bebas Syria yang akan kami sokong,” katanya.

“Rancangan Annan masih wujud tetapi tidak dilaksanakan,” katanya merujuk kepada pelan damai wakil PBB-Liga Arab, Kofi Annan yang sepatutnya bermula dengan satu gencatan senjata bermula 12 April tetapi setiap hari dicabuli.

“Kami akan memastikan rancangan ini termasuk di bawah Bab VII Piagam PBB, untuk memaksa rejim melaksanakannya dan membiarkan semua pilihan terbuka,” katanya. – AFP

Syria guna budak: PBB
2012/06/13

NEW YORK: Tentera Syria menyeksa kanak-kanak, membunuh mereka dan menjadikan golongan itu yang semuda usia lapan tahun sebagai perisai manusia ketika menyerang pemberontak, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

PBB melabel kerajaan Syria antara pemerintah paling teruk mengikut senarai negara bermasalah tahunannya kerana kanak-kanak diseksa, dibunuh atau dipaksa berperang.
Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan 1,200 kanak-kanak maut dalam bantahan anti pemerintah selama 15 bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad yang dikecam masyarakat antarabangsa kerana bertindak kejam ke atas penunjuk perasaan.
“Jarang sekali saya lihat kekejaman terhadap kanak-kanak seperti di Syria apabila kanak-kanak lelaki dan perempuan ditahan, diseksa, dibunuh dan digunakan sebagai perisai manusia,” kata wakil khas PBB bagi kanak-kanak dalam konflik bersenjata, Radhika Coomaraswamy.

Tentera kerajaan mengumpul berpuluh-puluh kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 13 tahun sebelum menyerang kampung Ayn l’Arouz di Idlib pada 9 Mac lalu, menurut laporan.

Mereka digunakan tentera dan anggota militia sebagai perisai manusia, ditempatkan di depan tingkap bas yang membawa askar menyerang kampung itu.

Memetik kenyataan saksi dalam laporan PBB, askar dan pasukan perisik Syria serta militia Shabiha pro-kerajaan, mengepung sebelum menyerang kampung berkenaan lebih empat hari.
Di kalangan 11 yang maut pada hari pertama ialah tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun, 34 lagi termasuk dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, ditahan. – AFP

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...