Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, March 05, 2012

Pengguna Muslim, sedarlah, Barang 'haram' laris di pasaran?

 Pengguna Muslim, sedarlah, Barang 'haram' laris di pasaran?

Artikel daripada Utusan Malaysia, 2/2/2012

Barang 'haram' laris di pasaran?


PELAKSANAAN Akta Perihal Dagangan 2011 yang hanya mengiktiraf logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mulai tahun ini nyata memberi keyakinan kepada pengguna Islam menikmati produk makanan tanpa was-was.

Di sebalik keputusan dianggap terbaik ini, kita seolah-olah terlupa bahawa soal halal atau haram bukan menjurus tentang makanan semata-mata. Hakikatnya, ia juga membabitkan barangan kegunaan harian termasuk peralatan kosmetik.

Namun, sejauh manakah kita pasti bahawa peralatan atau barangan digunakan itu adalah daripada sumber yang halal? Pernahkah kita terfikir terdapat sikat rambut yang diimport diperbuat daripada haiwan yang haram digunakan oleh masyarakat Islam?

Hakikatnya, banyak lagi barangan berasaskan bulu, tulang, lemak atau kulit babi yang begitu laris penjualan dan penggunaannya di kalangan pengguna Islam tanpa disedari berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak penjual.



Ikuti laporan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan SITI NURAZLINA JAMALUDDIN serta jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, MOHD. AZIM ABDUL RAHMAN dan ZAINI HUSIN bagi menyingkap fenomena lambakan barangan kegunaan ‘haram’ tetapi turut laris di kalangan masyarakat Islam.
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Haram tetapi laris. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian besar daripada barangan kegunaan import yang kita gunakan di rumah diragui status halalnya.
Hasil siasatan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia di empat buah pasar raya besar dan pusat beli belah sekitar ibu kota mendapati daripada 20 barangan kegunaan yang dijual, separuh tiada tanda halal.
Apa yang lebih mendukacitakan, ada di antara produk tersebut didapati antara bahan pembikinannya diperbuat daripada sama ada bulu, tulang atau kulit babi.
Kebanyakan barangan kegunaan itu terdiri daripada produk keperluan harian dan dandanan diri selain peralatan serta kelengkapan rumah.
Antaranya ialah sikat, losyen, pinggan-mangkuk, barangan kulit (kasut, jaket, tali pinggang) dan berus cat (termasuk berus lukisan).
Sudahlah tidak halal, paling mengejutkan ialah apabila barangan itu langsung tidak diasingkan kedudukannya.
Ini dikesan menerusi bungkusan barangan tersebut yang jelas memaparkan label made of boar (diperbuat daripada babi).
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa barangan lain seperti berus cat dan berus lukisan yang tidak mempunyai sebarang maklumat.

Status berus terbabit hanya terdedah apabila ujian makmal dilakukan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Produk Halal (IPBH) di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Keputusan mendapati, beberapa berus cat yang diuji tersebut sah diperbuat daripada bulu babi.
Hakikatnya, persoalan halal atau haram barangan kegunaan tidak akan selesai selagi tiada penguatkuasaan tegas pihak berkuasa.

Ini sekali gus memudahkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mengaburi mata pengguna Islam semata-mata untuk melariskan barangan kegunaan haram yang dijual.

Sebagai panduan, teliti satu persatu kes di bawah ini agar kita dapat bersama-sama mencari penyelesaian terbaik berhubung isu barang gunaan haram di Malaysia.
BARANG 1: SIKATSEKALI imbas tiada siapa akan menyangka sikat rambut bulat yang dijual di salah sebuah kedai kecantikan terkemuka di sebuah pusat beli belah di ibu kota ini rupa-rupanya berstatus tidak halal.
Bukan satu atau dua, bahkan sudah ramai pengguna Islam meluahkan kekesalan dan rasa tertipu mereka akibat terbeli sikat yang diperbuat dari babi itu.
Namun sikat yang bercirikan ion-seramik itu masih juga diletakkan di rak barangan tanpa sebarang label yang tertulis 'tidak halal' di sampingnya.
Sikap pengusaha kedai yang enggan melabel 'tidak halal' meskipun pada bungkusan barangan itu telah jelas terpapar maklumat diperbuat daripada babi secara tidak langsung memperlihatkan ketidakprihatinan mereka.
BARANG 2: BERUS CATPERNAHKAH anda menggunakan berus cat yang memiliki ciri-ciri seperti - bercabang di hujungnya, boleh diubahsuai dengan bahan kimia untuk menjadi lembut atau keras serta tidak mudah rosak dan tertanggal?
Percaya atau tidak, berus cat yang selama ini anda gunakan untuk mengecat dinding rumah mahupun bilik rupa-rupanya diperbuat daripada bulu babi yang dikenali sebagai babi biri-biri atau mangalitsa.
Makin mengejutkan, tinjauan di kedai barang dan peralatan mendapati, dari tujuh berus yang terdapat di rak barangan, lima daripadanya begitu ketara menunjukkan ciri-ciri berus cat bulu babi.
Melihat kepada bilangan berus cat yang banyak serta kepelbagaian saiznya berbanding tiga jenis berus cat sintetik yang turut dijual, tidak keterlaluan dikatakan berus cat haram ini sememangnya laris dan popular di kalangan pengguna.

BARANG 3: PINGGAN MANGKUKBERWASPADALAH ketika membeli pinggan mangkuk dan perkakas makanan seperti cawan dan piring daripada seramik kerana ada jenama tertentu mengandungi campuran tulang haiwan termasuk tulang babi.

Istilah bone China bermaksud campuran tulang-temulang babi yang dibakar dan dihancurkan menjadi serbuk dan diadun menjadi tanah liat.

Amat mudah untuk mengenali perkakasan yang mengandungi tulang babi kerana kebiasaannya tercatat bone China di belakangnya.
Tujuan menggunakan tulang itu adalah kerana hasilnya lebih berkualiti dan halus serta warnanya yang lebih putih dan ringan. Justeru, tidak hairanlah jika pinggan-mangkuk daripada sumber bone China dijual agak mahal berbanding porselin biasa.

0 comments:

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...