Jeli Dari Kulit Babi, Gula-gula Gelatin babi
Gambar Laporan daripada Akhbar harian metro 14 November 2007 
Halal Haram, Telitilah Makanan Anda
Persoalan makanan halal, haram tidak boleh diambil mudah
Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari  apa yang ada di bumi, yang halal  lagi baik, dan janganlah kamu ikut  jejak langkah syaitan; kerana  sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang  terang nyata bagi kamu.”  (Surah al-Baqarah, ayat 168) 
      Ibn kathir dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan, perkataan   toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat serta elok dari segi tabiat   dan syarak. Thoyyiba  merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan   kerohanian. 
 
Halal Haram, Telitilah Makanan Anda
 Laporan daripada Akhbar harian metro 14 November 2007 :
 Lambakan pelbagai jenis gula-gula jeli dan getah pelbagai warna serta  bentuk yang diimport mencetuskan keresahan pengguna Islam berikutan 80  peratus dihasilkan daripada gelatin babi.
  
Gula-gula terbabit yang dijual  berleluasa di kedai runcit dan pusat beli-belah dikesan tidak mempunyai  logo halal, termasuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (Jakim). 
Dakwaan mengaitkan gula-gula terbabit dengan penggunaan gelatin  daripada kulit atau tulang babi diperkuatkan lagi apabila pengedar atau  pengilang sengaja tidak menyenaraikan kandungan bahan gelatin digunakan  pada bungkusan.
Sehingga kini, lebih 50 jenis gula-gula  jeli dan getah yang berbentuk menarik untuk memikat pengguna cilik  diragui statusnya berada di pasaran, lantaran sikap pengimport dan  pengedar yang berdiam diri berhubung status halal.
 Tinjauan Harian Metro  mendapati gula-gula itu yang dijual sama ada secara timbang atau dalam  peket plastik kecil menarik perhatian kanak-kanak berikutan bentuknya  seperti buah-buahan, binatang dan kuih.
Malah, harganya semurah 20 sen hingga  RM1 sebungkus menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih membelinya setiap  hari.
 Seorang pengadu, Iylia Hani Talib, 24, berkata kewujudan gula-gula  terbabit yang mudah dibeli di kedai runcit atau pasar raya mula  menimbulkan keraguan apabila kerap dibeli dan dimakan  rakannya. 
Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pengetahuan khusus  mengenai proses pembuatan gula-gula terbabit, dia mendapat tahu ia  memerlukan gelatin sebagai bahan asas utama.
 “Mulanya saya turut sama menjamah  gula-gula getah itu, namun selepas mendapati ia tidak mempunyai logo  halal, saya mula was-was. “Selepas bertanya rakan yang bertugas di  Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), saya yakin produk terbabit yang  dipasarkan tanpa logo halal dikhuatiri mengandungi gelatin tetapi  dibungkus dengan pembalut yang tidak menyatakan kandungan sebenar bagi  mengelirukan umat Islam.
“Ada kemungkinan pengusaha makanan  ringan asing dan tempatan berpakat merahsiakan kandungan tepat ramuan  gelatin yang digunakan kerana tidak mahu produk mereka dipulau pengguna  Islam. “Tindakan pengusaha terbabit nyata tidak bertanggungjawab kerana  menyembunyikan sesuatu yang sepatutnya diketahui umum bahan yang  digunakan itu tidak halal,” katanya.
Kata Iylia, dia mengesyaki gelatin  gula-gula itu tidak diproses mengikut kaedah dibenarkan syariat Islam,  apatah lagi makanan itu dikeluarkan pengusaha asing yang pasti tidak  menitikberatkan soal halal haram. Dia berkata, penggunaan gelatin dalam  makanan terbabit harus dilabelkan untuk memudahkan pengguna, terutama  orang Islam mengetahui sama ada makanan itu halal atau haram.
 “Lebih mengecewakan mungkin ada pihak  yang sengaja menipu fakta kandungan atau langsung tidak meletakkannya  untuk menipu orang ramai,” katanya.
Mengulas hal itu, Pengurus Pemasaran  Kumpulan Halagel (M) Sdn Bhd, Muhammad Azhar Abdullah, 33, berkata  kebimbangan orang ramai terhadap gula-gula diperbuat daripada gelatin  babi berasas berikutan sumber gelatin babi (porcine) lebih murah dan  menjadi pilihan utama pengilang gula-gula di luar negara, terutama di  China. Menurutnya, gelatin digunakan sebagai ejen penstabil, penebal,  pembuih, pelekat dan pengikat. Malah, boleh dikatakan tanpa penggunaan  bahan ini, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.
 “Melalui pengalaman lebih 10 tahun,  kebanyakan jenis gelatin yang digunakan pengusaha makanan ringan di luar  negara diperbuat daripada najis mughallazah seperti tulang dan lemak  babi atau lemak lembu yang tidak disembelih mengikut syariat Islam.
“Hanya segelintir pengilang sanggup  mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan gelatin bovine (lembu,  kerbau atau kambing) selain gelatin tumbuh-tumbuhan (pectin) untuk  dijadikan bahan asas gula-gula,” katanya. Namun menurutnya, tidak semua  gelatin bovine benar-benar halal berikutan sumber ternakan seperti lembu  atau kambing digunakan dibimbangi tidak disembelih mengikut hukum  syarak.
 “Melalui lawatan ke kilang menghasilkan  gelatin di China sebelum ini, 70 hingga 80 peratus syarikat di sana  mengeluarkan gelatin porcine. Malah ada syarikat yang menghasilkan  gelatin porcine dan bovine dalam kilang sama.
 “Keadaan ini menyebabkan syarikat kami  mengimport gelatin halal dari Pakistan yang lebih diyakini berikutan  sumber binatang halal disembelih,” katanya yang amat meragui gula-gula  getah dari China kerana kebanyakan pengilangnya mendapatkan sumber  daripada pengusaha gelatin tempatan. 
Selain itu, kata Azhar, dia meragui  gelatin dalam bentuk blok yang kerap digunakan syarikat menghasilkan  kek.
 “Mengikut maklumat, gelatin blok  berwarna putih jernih adalah dihasilkan daripada sumber babi manakala  gelatin berwarna kuning dihasilkan daripada lembu atau kambing,”  katanya. Azhar berkata, masalah berhubung produk yang haram dimakan  dapat diatasi jika masyarakat lebih peka dan hanya memilih produk yang  mempunyai logo halal Jakim.
 
0 comments:
Post a Comment