Wednesday, March 07, 2012

Denda logo halal mulai 1 Julai

Denda logo halal mulai 1 Julai 

 PEMILIK restoran akan dikenakan tindakan jika masih menggunakan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh Jakim mulai 1 Julai ini.

BERA – Semua pemilik premis makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei ini untuk memastikan logo halal yang dipamerkan adalah keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ini kerana mulai 1 Jun, pengusaha yang mempamerkan logo halal selain daripada yang dikeluarkan oleh Jakim akan diberi amaran sebelum tindakan denda dan penjara dikuatkuasakan bermula 1 Julai di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011.

Di bawah akta itu, pesalah individu boleh didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat atau premis pula boleh didenda RM500,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya logo halal diiktiraf manakala logo yang lain termasuk yang dikeluarkan oleh pihak swasta dalam dan luar negara tidak dibenarkan.


“Kementerian saya bersama Jakim telah menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu di mana anggotanya akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 1,109 penduduk Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Kerayong di sini semalam.

 sumber: KOSMO

1 comments:

Luke said...

Pengusaha kecil, gerai, nasi lemak dll patut diberi ruang terutama yang baru start berniaga dan beragama Islam.

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...